Pandangan Hukum Syarak Penilaian Semula Nilai Altitud Matahari Di Bawah Ufuk Bagi Penentuan Awal Waktu Solat Subuh Di Negeri Selangor

Tidak Diwartakan

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-6/2019 yang bersidang pada 6 Rabi’ul Akhir 1441H / 3 Disember 2019 memutuskan:

a)  Permulaan waktu solat Subuh di Malaysia adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk. Perubahan ini menyebabkan waktu solat Subuh sedia ada perlu ditambah sebanyak 8 minit;

b)  Kajian ini telah dibahas dan dipersetujui dalam Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 yang telah diadakan pada 17-19 September 2019 untuk mengubah altitud matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat Subuh di Malaysia sedia ada iaitu 20° (Kelantan 19°); dan

c)  Pelaksanaan solat Subuh sebelum ini yang menggunakan altitud matahari pada 20° tetap dianggap sah kerana ia adalah masalah ijtihadiyah bergantung pada apa yang telah diputus dan dipersetujui oleh uli al-amr sebagai pemerintah.

Bertarikh 3 Disember 2019

(MJKFNS. BIL.6/2019)

DATO’ SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa

Negeri Selangor

Dokumen imbasan. Fatwa ini diterbitkan sebagai imbasan warta kerajaan. Teksnya belum ditaip semula, jadi kandungan penuh tidak boleh dicari atau disalin. 1 halaman.

  1. Imbasan halaman 1 daripada 1 — Pandangan Hukum Syarak Penilaian Semula Nilai Altitud Matahari Di Bawah Ufuk Bagi Penentuan Awal Waktu Solat Subuh Di Negeri Selangor

Buka imbasan penuh Muat turun