Pandangan Hukum Syarak Penulisan Ayat Al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin

Tidak Diwartakan

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-6/2019 yang bersidang pada 6 Rabi’ul Akhir 1441H / 3 Disember 2019 memutuskan:

a)  Bahawa orang Islam adalah ditegah daripada menulis atau menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf arab atau bukan tulisan al-Quran atas sebab berikut:

   i.  Penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran tidak dapat memainkan peranan sepertimana yang dilakukan oleh huruf-huruf Arab; dan

  ii.  Sekiranya al-Quran ditulis dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran akan menyebabkan perubahan dari segi saiz lafaz dan maknanya.

b)  Walau bagaimanapun, ayat-ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan seperti berikut:

   i.  Penulisan akademik (petikan atau frasa) yang menggunakan tanda transliterasi yang betul serta mengikut kaedah yang standard; atau

  ii.  untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

c)  Mana-mana orang adalah diharam dan dilarang:

   i.   Menulis ayat-ayat al-Quran dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran; dan

  ii.  mencetak, menerbit, menjual, mempamer, mengedar atau terlibat dengan apa-apa cara sekali pun dalam penulisan ayat-ayat al-Quran dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran.

d)  Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan (c).

Bertarikh 3 Disember 2019

(MJKFNS. BIL.6/2019)

DATO’ SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa

Negeri Selangor

Dokumen imbasan. Fatwa ini diterbitkan sebagai imbasan warta kerajaan. Teksnya belum ditaip semula, jadi kandungan penuh tidak boleh dicari atau disalin. 2 halaman.

  1. Imbasan halaman 1 daripada 2 — Pandangan Hukum Syarak Penulisan Ayat Al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin
  2. Imbasan halaman 2 daripada 2 — Pandangan Hukum Syarak Penulisan Ayat Al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin

Buka imbasan penuh (halaman 1) Muat turun (halaman 1)