#57 Taudhih Al-Hukmi :Kesahihan Taha (طه) Dan Yasin (ياسين) Adalah Nama Nabi Muhammad Saw

Tarikh: 28 Mei 2024

Disediakan oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar

Pendahuluan

Nabi Muhammad SAW dimuliakan oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk dan cara. Antara bukti Allah memuliakan Nabi SAW adalah dengan mengurniakan Baginda SAW dengan pelbagai gelaran dan nama. Antara nama Nabi SAW adalah Taha (طه) dan Yasin (ياسين). Persoalannya, benarkah Taha dan Yasin adalah salah satu nama Nabi Muhammad SAW?

Nama-nama Nabi Muhammad SAW Menurut Hadis Sahih

Melalui satu hadis yang diriwayatkan  daripada Jubayr bin Mut’im RA, sabda Rasulullah SAW:

‌لِي ‌خَمْسَةُ ‌أَسْمَاءٍ أَنَا مُحَمَّدٌ وَأَحْمَدُ وَأَنَا الْمَاحِي الَّذِي يَمْحُو اللهُ بِي الْكُفْرَ وَأَنَا الْحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي وَأَنَا الْعَاقِبُ

Maksudnya: Aku mempunyai lima nama. Aku adalah Muhammad. Aku Ahmad. Aku adalah al-Mahi yang Allah hapuskan bagi Ku kekufuran. Aku adalah al-Hasyir yang menghimpunkan manusia bawah kaki Ku. Aku adalah al-‘Aqib. [1]

Selain itu, terdapat juga hadis
yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA, kata beliau:

وَاللهِ إِنَّهُ لَمَوْصُوفٌ فِي التَّوْرَاةِ بِبَعْضِ صِفَتِهِ فِي الْقُرْآنِ: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا وَحِرْزًا لِلأُمِّيِّينَ، أَنْتَ عَبْدِي وَرَسُولِي، سَمَّيْتُكَ ‌الْمُتَوَكِّلَ

Maksdunya: Demi Allah, sesungguhnya dalam Taurat Nabi SAW disifatkan dengan beberapa sifatnya yang ada dalam al-Quran: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskan Kamu sebagai saksi, penyampai berita gembira, pemberi peringatan dan pelindung kepada para ummiyyin. Kamu adalah hambaKu dan utusanKu. Aku telah menamakan Kamu al-Mutawakkil.[2]

Begitu juga hadis yang
diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, sabda Nabi SAW:

أَنَا
مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ، وَالْمُقَفِّي، وَالْحَاشِرُ، ‌ونبي ‌التوبة، ونبي الرحمة

Maksudnya: Aku adalah Muhammad,
Ahmad, al-Muqaffi, al-Hasyir, Nabi al-Taubah dan juga Nabi al-Rahmah.[3]

Berdasarkan hadis-hadis sahih ini, terdapat sembilan nama Nabi SAW. Nama-nama Nabi SAW adalah Muhammad, Ahmad, al-Mahi, al-Hasyir, al-‘Aqib, al-Mutawakkil, al-Muqaffi, Nabi al-Taubah dan juga Nabi al-Rahmah. Tiada disebutkan dalam hadis-hadis tersebut nama Taha (طه) dan Yasin (ياسين).

Taha Dan Yasin Menurut Hadis Dhaif

Terdapat satu hadis Nabi SAW yang menunjukkan bahawa Taha dan Yasin adalah salah satu daripada nama-nama Nabi Muhammad SAW. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Tufayl RA, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ ‌لِي عِنْدَ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ ‌عَشْرَةَ ‌أَسْمَاءٍ. قال أبو الطفيل: قَدْ حَفِظْتُ مِنْهَا ثَمَانِيَةً: مُحَمَّدٌ ، وَأَحْمَدُ ، وَأَبُو الْقَاسِمِ ، وَالْفَاتِحُ ، وَالْخَاتَمُ ، وَالْمَاحِي ، وَالْعَاقِبُ ، وَالْحَاشِرُ.

قال أبو يحيى التيمي: وزعم سيف أن أبا جعفر قال له: إِنَّ الاِسْمَيْن الْبَاقِيين: طَه ، وَيَاسِين

Maksudnya:  Aku mempunyai sepuluh nama di sisi Allah SWT. Kata Abu al-Tufayl: Aku telah menghafaz lapan daripada nama-nama tersebut iaitu Muhammad, Ahmad, Abu al-Qasim, al-Fatih, al-Khatam, al-Mahi, al-‘Aqib dan al-Hasyir.

Kata Abu Yahya al-Taymi: Sayf bin Wahab mengatakan bahawa Abu Ja’far berkata kepadanya: Sesungguhnya baki dua nama lagi adalah Taha dan Yasin.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Ajurri dalam al-Syari’ah[4], Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil[5] dan Abu Nu’aym dalam Dala’il al-Nubuwwah[6]. Lafaz hadis yang menerangkan tentang Nabi SAW mempunyai sepuluh nama diriwayatkan daripada jalan Abdullah bin Umar bin Aban al-Kufi, daripada Ismail bin Ibrahim Abu Yahya al-Taymi, daripada Sayf bin Wahab, daripada Abu al-Tufayl RA. Manakala, lafaz Abu Ja’far RA yang menyebutkan baki nama Nabi SAW diriwayatkan daripada jalan Ismail bin Ibrahim Abu Yahya al-Taymi, daripada Sayf bin Wahab, daripada Abu Ja’far RA. Abu al-Tufayl ‘Amir bin Wathilah RA dan Abu Ja’far Abdullah bin Ja’far RA adalah Sahabat Nabi SAW.[7] Hadis dengan sanad ini dihukumkan dhaif oleh al-‘Iraqi[8] dalam takhrij beliau terhadap kitab Ihya’ Ulumiddin. Hal ini disebabkan oleh dua orang perawi iaitu Sayf bin Wahab dan Abu Yahya al-Taymi.

Sayf bin Wahab telah berlaku perbezaan dalam kalangan nuqqad terhadap status dhaif beliau. Kata Yahya bin Sa’id al-Qattan, beliau adalah seorang perosak hadis daripada kalangan para perosak (halik min al-halikin).[9] Walaupun begitu, tajrih daripada Yahya al-Qattan tidak diterima kerana beliau seorang yang mutasyaddid. Tambahan pula para nuqqad lain menghukumkan beliau sebagai dhaif sahaja dan tidak sampai kepada martabat dhaif jiddan. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan pandangan Imam Ahmad, menurut imam Ahmad beliau seorang yang lemah hadisnya (dhaif al-hadis).[10] Ibnu Hibban menyenaraikan Sayf bin Wahab dalam kitab al-Thiqat beliau.[11] Kata Ibnu ‘Adi: “adapun Sayf bin Wahab telah dituduh (dengan tuduhan yang berat) oleh Yahya al-Qattan dan Ahmad bin Hanbal menyatakan Sayf lebih hampir kepada dhaif.[12] Kata Ibnu Hajar al-‘Asqalani: “layyin al-hadith”.[13]

Begitu juga keadaannya dengan Ismail bin Ibrahim Abu Yahya al-Taymi. Menurut Ibnu Numayr, Abu Yahya dihukumkan sebagai dhaif jiddan.[14] Akan tetapi, tajrih daripada Ibnu Numayr juga tertolak kerana beliau menghukumkan Abu Yahya atas dasar peribadi. Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin: “Abu Yahya tersilap sehingga terkeluar daripada had ihtijaj (menjadikan hadis beliau sebagai hujjah) jika bersendirian dalam periwayatan dan Ibnu Numayr terlalu berat menghukumnya”.[15] Kata al-Tirmizi dalam Sunan beliau: “Ismail bin Ibrahim al-Taymi dhaif pada hadisnya”.[16] Menurut Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil[17] beliau mempunyai hadis-hadis yang hisan (baik) dan tiada pada periwayatannya hadis munkar al-matn berserta ditulis hadisnya (untuk diriwayatkan). Menurut Ibnu Hajar beliau seorang yang dhaif.[18] Justeru itu, hadis ini dapat dihukumkan sebagai dhaif.

Walaupun hadis ini berstatus dhaif, kebanyakan ulama bersepakat menerima Taha dan Yasin adalah salah satu nama Nabi Muhammad SAW. Imam al-Bayhaqi menukilkan pandangan Abu Zakariya, kata beliau: “bagi Nabi SAW terdapat lima nama yang disebutkan dalam al-Quran iaitu Muhammad, Ahmad, Abdullah, Taha dan Yasin”.[19] Selain itu, Qadhi Iyadh ada menyatakan dalam kitab al-Syifa beliau:

روي عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال ‌لي عند ربي ‌عشرة ‌أسماء ذكر منها أن طه ويس اسمان له.

Maksdunya: Telah diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa baginda telah bersabda “Aku mempunyai sepuluh nama di sisi Allah SWT” disebutkan antara namanya adalah Taha dan Yasin.[20]

Begitu juga dengan al-Sakhawi turut bersetuju menyatakan bahawa Taha dan Yasin adalah nama Nabi Muhammad SAW. Al-Sakhawi telah memuatkan sebilangan banyak himpunan nama-nama Nabi Muhammad SAW dalam kitab beliau al-Qawl al-Badi’ Fi al-Solah ‘Ala al-Habib al-Syafi’. Antara nama yang dimuatkan oleh al-Sakhawi adalah Taha dan Yasin.[21]

Adapun hadis Taha dan Yasin ini tidak bercanggah dengan hadis-hadis sahih lain yang menerangkan nama-nama Nabi SAW seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jubayr bin Mut’im, Ibnu Mas’ud dan Abu Musa al-Asy’ari. Hal ini kerana hadis Taha dan Yasin serta hadis-hadis yang lain diriwayatkan oleh para sahabat yang berbeza-beza. Ini menunjukkan para Sahabat mendengar hadis yang berbeza-beza daripada Nabi SAW. Bahkan hadis-hadis ini boleh digabungkan dan dihimpunkan.

Taha Dan Yasin Menurut Ulama Tafsir

Antara nama surah yang terdapat dalam al-Quran adalah surah Taha dan surah Yasin. Kedua-dua surah ini juga dimulai dengan yasin (يس) dan taha (طه). Bagi surah Taha, ulama berbeza pendapat dalam menyatakan makna taha tersebut. Sebahagian mufassirin menyatakan ia merupakan salah satu nama Allah SWT yang Allah SWT bersumpah dengannya. Sebahagian lain menyatakan ia adalah huruf-huruf hija’iyyah. Ada yang menyatakan ia adalah huruf muqatta’ah. Akan tetapi kebanyakan ulama berpendapat ia membawa maksud ya rajul (wahai lelaki). Hal ini bertepatan seperti apa yang dikatakan oleh al-Qurtubi dalam tafsir beliau:

في قوله: طه، قال: فإنه قسم أقسم الله به، وهو اسم من أسماء الله وقال آخرون: هو حروف هجاء. وقال آخرون: هو حروف مقطعة يدل كل حرف منها على معنى … والذي هو أولى بالصواب عندي من الأقوال فيه: قول من قال: معناه: يا رجل، لأنها كلمة معروفة في عك فيما بلغني

Maksudnya: pada firman Allah SWT: Taha. Maka ia adalah salah satu bentuk sumpah Allah SWT yang bersumpah dengan salah satu namanya. Sebahagian lain menyatakan ia adalah huruf-huruf hija’iyyah. Sebahagian lagi menyatakan ia adalah huruf muqatta’ah yang mempunyai makna pada setiap satu huruf tersebut … dan yang paling tepat bagiku daripada pendapat-pendapat tersebut adalah pendapat yang menyatakan maknanya adalah ya rajul (wahai lelaki). Ini kerana ia kalimah yang dikenali dalam kalangan kabilah ‘Ak (عك) seperti yang telah diampaikan kepada aku.[22]

Jelas pada kenyataan al-Qurtubi ini bahawa makna Taha adalah “wahai lelaki” yang berasal daripada dialek kabilah ‘Ak. Bukan itu sahaja, bahkan lelaki yang dimaksudkan dalam seruan “wahai lelaki” pada surah Taha ini ialah Nabi Muhammad SAW. Kata al-Wahidi dalam tafsir beliau:

طه: أكثر المفسرين على أن معناه: يا رجل، يريد النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وهو قول الحسن، وعكرمة، وسعيد بن جبير، وقتادة، والضحاك، ومجاهد، وابن عباس فِي رواية عطاء.

Maksudnya: Kebanyakan ahli tafsir menyatakan makna Taha adalah “wahai lelaki”, yang dimaksudkan adalah Nabi SAW. Ini adalah pandangan al-Hasan, Ikrimah, Sa’id bin Jubayr, Qatadah, al-Dhahhak, Mujahid dan Ibnu Abbas melalui riwayat ‘Ata’.[23]

Adapan mengenai maksud Yasin, ulama juga berbeza pendapat dalam menyatakan maknanya. Ada yang menyatakan ia adalah huruf hija’iyyah. Kebanyakan ahli tafsir menyatakan ia bermaksud ya insan (wahai insan) yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW. Kata al-Baghawi dalam tafsir beliau:

واختلفوا في تأويل يس حسب اختلافهم في حروف التهجي، قال ابن عباس رضي الله عنهما: هو قسم، ويروى عنه أن معناه: يا إنسان بلغة طيء، يعني محمدا صلى الله عليه وسلم، وهو قول الحسن وسعيد بن جبير وجماعة. وقال أبو العالية: معناه: يا رجل. وقال أبو بكر الوراق: يا سيد البشر.

Maksudnya: Ulama berbeza pandangan dalam menyatakan makna bagi Yasin disebabkan perbezaan pandangan mereka terhadap huruf hija’iyyah. Berkata Ibnu Abbas: ia adalah sebuah sumpah. Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa maknanya: Wahai Insan dalam bahasa Tayyi’, yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad SAW. Ini merupakan pendapat al-Hasan, Sa’id bin Jubayr dan ramai lagi. Berkata Abu al-‘Aliyah: maknanya adalah “wahai lelaki. Berkata Abu Bakar al-Warraq: wahai sayyid al-basyar (Nabi Muhammad SAW).[24]

Kata
al-Wahidi dalam tafsir beliau:

يس: قال ابن عباس والمفسرون: يريد يا إنسان، يعني
محمدا صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya: Yasin: berkata Ibnu Abbas dan ahli tafsir: ia bermaksud “wahai insan” iaitu Nabi Muhammad SAW.[25]

Setelah melihat kepada pendapat-pendapat yang telah dikemukakan, kebanyakan ahli tafsir bersetuju bahawa yang dituju pada kalimah Taha dan Yasin pada kedua-dua surah tersebut adalah Nabi Muhammad SAW. Seterusnya menunjukkan bahawa Taha dan Yasin adalah nama Nabi SAW.

Kesimpulan

Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, dapat disimpulkan bahawa Taha dan Yasin adalah salah satu nama Nabi Muhammad SAW. Ini kerana terdapat hadis yang menunjukkan Taha dan Yasin adalah nama Nabi SAW walaupun berstatus dhaif. Tambahan pula terdapat sebilangan ulama yang bersetuju menyatakan Taha dan Yasin adalah nama Nabi SAW. Bukan itu sahaja, majoriti ulama tafsir juga bersetuju akan hal ini.


[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī.
(Mesir: Sulṭāniyah, 1893)
, no hadis. 3532.

[2] Al-Bukhārī.
Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, no hadis. 2125.

[3] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: ʿIsā al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), no hadis.2355.

[4] Al-Ājurrī, Muḥammad bin al-Ḥusayn. Al-Sharīʿah.
(Saudi: Dār al-Waṭan, 1999), no hadis. 1015.

[5] Ibn ʿAdī, Aḥmad bin ʿAdī. Al-Kāmil Fī Ḍuʿafā’ al-Rijāl.
(Beirut: al-Kutub al-ʿIlmiyyah
, 1997), 4/509.

[6] Al-Aṣbahānī, Aḥmad bin ʿAbd Allah Abū Nuʿaym. Dalā’il al-Nubuwwah. (Beirut: Dār al-Nafā’is, 1986), no hadis. 20.

[7] Al-ʿAsqalānī, Aḥmad bin ʿAlī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Saudi:
Dār al-Minhāj, 2009), hlm 324 dan 333.

[8] Al-ʿIrāqī, Zayn al-Dīn ʿAbd al-Raḥīm bin al-Ḥusayn. Al-Mughnī ʿAn Ḥaml al-Asfār Fī al-Asfār. (Beirut: Dār Ibn Ḥazm, 2005). 870.

[9] Ibn Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman bin Muḥammad. Al-Jarh Wa
al-Taʿdīl
. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-Islāmī
, 1952). 4/275.

[10] Ibn
Abī Ḥātim. Al-Jarh Wa al-Taʿdīl. 4/275.

[11] Ibn Ḥibbān, Muḥammad bin Ḥibbān. Al-Thiqāt. (India: Dā’irat al-Maʿārif al-ʿUthmāniyyah, 1973). 4/339.

[12] Ibn
ʿAdī. Al-Kāmil Fī Ḍuʿafā’ al-Rijāl. 4/509.

[13] Al-ʿAsqalānī.
Taqrīb al-Tahdhīb. 296.

[14] Ibn
Abī Ḥātim. Al-Jarh Wa al-Taʿdīl. 2/155.

[15] Ibn Ḥibbān, Muḥammad bin Ḥibbān. Al-Majrūḥīn Min al-Muḥaddithīn Wa al-Ḍuʿafā’ Wa al-Matrūkīn. (Syria: Dār al-Waʿyī, 1996). 1/122.

[16] Al-Tirmidhī, Muḥammad bin ʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975), no hadis. 529.

[17] Ibn
ʿAdī. Al-Kāmil Fī Ḍuʿafā’ al-Rijāl. 1/501.

[18] Al-ʿAsqalānī.
Taqrīb al-Tahdhīb. 145.

[19] Al-Bayhāqī, Aḥmad bin Ḥusayn. Dalā’il al-Nubuwwah. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyah, 1988). 1/159.

[20] Al-Qāḍī ʿIyāḍ bin Mūsā. Al-Shifā Bitaʿrīf Ḥuqūq al-Muṣṭafā. (Syria: Dār al-Fikr, 1988). 1/32.

[21] Al-Sakhāwī. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ, hlm 179 dan182.

[22] Al-Qurṭubī, Muḥammad bin Aḥmad, al-Jāmiʿ Li’aḥkām al-Qurān. (Mesir: Dār al-Kutub al-Miṣriyyah, 1964). 16/7.

[23] Al-Wāḥidī, Abū al-Ḥasan ʿAlī bin Aḥmad. Al-Wasīṭ Fī Tafsīr al-Qur’ān al-Majīd. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994). 3/199.

[24] Al-Baghawī, al-Ḥusayn bin Masʿūd. Maʿālim al-Tanzīl Fī Tafsīr al-Qur’ān. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-ʿArabī, 1999). 4/5.

[25] Al-Wāḥidī.
Al-Wasīṭ Fī Tafsīr al-Qur’ān al-Majīd. 3/509.