#77 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Penggunaan Kalimah Allah SWT Pada Jata Atau Logo

Tarikh: 21 November 2024

Disediakan oleh: Muhammad Aiman Akmal

Pengenalan

Penggunaan kalimah “Allah SWT” pada jata atau logo telah menjadi topik perbincangan yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat Islam. Rentetan daripada itu, terdapat persoalan tentang hukum penggunaan kalimah suci ini dalam bentuk lambang yang mungkin dipamerkan di pelbagai tempat, termasuk bangunan, dokumen rasmi atau produk komersial. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan hukum penggunaan kalimah Allah SWT pada jata atau logo dari perspektif syariah. 

Kesucian kalimah Allah SWT

Dalam agama Islam, kalimah “Allah” adalah nama yang merujuk secara langsung kepada zat Allah yang wajib wujud, yang berhak atas segala kesempurnaan kerana zat-Nya sendiri.[1] Ia memiliki kedudukan yang sangat istimewa dan dianggap sebagai nama yang mencakup semua sifat-sifat kesempurnaan Allah dengan memiliki nama-nama yang baik. Antara bukti tersebut yang dapat dilihat adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 180:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Di dalam hadis juga menyebutkan bahawa Allah SWT mempunyai nama-nama yang baik seperti yang diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إِنَّ ‌لِلَّهِ ‌تِسْعَةً ‌وَتِسْعِينَ ‌اسْمًا، ‌مِائَةً ‌إِلَّا
‌وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga.[2]

Lafz al-Jalalah (الله) mempunyai kesucian dan keistimewaan yang tersendiri bagi umat Islam. Justeru, tidak boleh sewenang-wenangnya bagi kaum muslimin menggunakan kalimah Allah pada perkara-perkara yang tidak layak baginya. Hal ini kerana berdasarkan kebanyakan ulama menyatakan bahawa nama Allah adalah nama yang paling agung, kerana ia merujuk kepada zat yang mencakupi semua sifat ketuhanan, dalam erti lain bahawa tiada satu pun daripada sifat-sifat kesempurnaan bagi Tuhan terlepas daripadanya.

  1. Menurut Imam Ghazali: antara keistimewaan dan kemuliaan
    yang ada pada kalimah Allah, adalah:

●       Bahawa lafaz Allah merupakan lafaz yang paling agung di antara 99 nama-Nya kerana lafaz tersebut menunjukkan zat ketuhanan yang mencakupi seluruhnya.

●       Tiada seorang pun yang boleh menggunakan nama tersebut melainkan Allah, baik secara hakikat mahupun secara majaz (kiasan).[3]

2.      Lafaz Allah sebagai al-Ism al-‘Azam (الاسْمُ الْأَعْظَم)[4], yang mana apabila nama ini disebut di dalam doa maka doanya akan termakbul. Hal ini diriwayatkan di dalam sebuah hadis daripada Saidina Anas RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika seorang lelaki berdoa dengan menyebutkan kalimah Allah:

أَتَدْرُونَ بِمَ دَعَا اللَّهَ؟ دَعَا اللَّهَ بِاسْمِهِ
الأَعْظَمِ، الَّذِي ‌إِذَا ‌دُعِيَ ‌بِهِ ‌أَجَابَ، ‌وَإِذَا ‌سُئِلَ ‌بِهِ ‌أَعْطَى

Maksudnya: Adakah kalian tahu dengan apa dia berdoa kepada Allah? Dia berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang Agung (Allah), yang mana apabila berdoa dengan nama itu, Dia akan menjawab dan apabila diminta dengannya, Dia akan memberi.[5]

  1. Imam al-Qurtubi: Lafaz “Allah”
    merupakan nama Allah yang paling mulia dan juga mencakup semua sifat
    kesempurnaan Allah. Di dalam tafsirnya beliau menyatakan bahawa: 

وَإِنْ دَعَوْتَ بِالْأَعَمِّ
الْأَعْظَمِ فَقُلْتَ: يَا أَللَّهُ، فَهُوَ مُتَضَمِّنٌ لِكُلِّ اسْمٍ

Maksudnya: Sekiranya engkau mahu berdoa dengan keumuman nama-nama yang agung, maka sebutkanlah: Ya Allah! Hal ini kerana ianya mencakup kesemua nama-Nya.[6]

Hukum Meletakkan Kalimah Allah Pada Logo atau Jata

Hukum mengenai meletakkan kalimah Allah pada logo perlu dikembalikan semula kepada asal bagi hukum sesuatu itu adalah diharuskan selagimana tidak bercanggah dengan syarak atau terdapat pengkhususan dari nas-nas sama ada al-Quran atau Sunnah yang mengharamkan perkara tersebut. Rasulullah SAW sendiri mempunyai cincin yang diukir padanya kalimah “اللَّهَ”, sepertimana hadis di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Saidina Ibn Umar RA berkata:

اتَّخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ، وَكَانَ فِي يَدِهِ، ثُمَّ كَانَ بَعْدُ فِي يَدِ أَبِي بَكْرٍ، ثُمَّ كَانَ بَعْدُ فِي يَدِ عُمَرَ، ثُمَّ كَانَ فِي يَدِ عُثْمَانَ، حَتَّى وَقَعَ بَعْدُ فِي بئر أريس، ‌نقشه: ‌محمد ‌رسول ‌الله

Maksudnya: Rasulullah SAW memiliki cincin yang diperbuat daripada perak, dan cincin itu berada di tangan baginda. Kemudian cincin itu berada di tangan Abu Bakr RA, kemudian di tangan Umar RA, dan kemudian di tangan Uthman RA, sehingga akhirnya cincin itu terjatuh ke dalam Telaga Aris. Ukiran pada cincin itu: Muhammad Rasulullah.[7]

Berdasarkan hadis di atas, menurut Imam Ibn Battal terdapat pandangan yang membolehkan nama Allah tertulis pada cincin, namun di sisi Ibn Sirin dan beberapa ulama lain adalah makruh hukumnya. Selain itu, Imam Malik mempunyai ukiran cincin yang tertulis padanya: حسبى الله ونعم الوكيل. Imam Malik juga berkata: Tidak ada kebaikan pada ukiran yang berupa patung atau gambar pada batu cincin.[8]

Imam Nawawi pula, ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa di sisi mazhabnya dibolehkan bagi seseorang yang ingin mengukir kalimah Allah SWT pada cincinnya. Begitu juga, ianya merupakan mazhab Sa’id bin Musayyib, Imam Malik serta majoriti para ulama. Namun begitu, di sisi Imam Ibn Sirin dan sebahagian ulama mengatakan adalah makruh melakukan perbuatan tersebut dan pandangan ini adalah dhaif. Di samping itu, para ulama mengatakan bagi seseorang itu harus mengukir sama ada namanya sendiri pada cincin atau kata-kata hikmah atau mengukir bersamanya dengan zikrullah Ta’ala.[9] 

Begitu juga,
hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA berkata;

كَانَ نَقْشُ خَاتَمِ النَّبِيِّ ﷺ
ثَلاَثَةَ أَسْطُرٍ مُحَمَّدٌ سَطْرٌ وَرَسُولُ سَطْرٌ وَاللَّهِ سَطْرٌ

Maksudnya: Adalah ukiran pada cincin Nabi SAW terdapat tiga baris. Baris yang pertama tertulis kalimah Muhammad. Baris yang kedua tertulis kalimah Rasul dan baris yang ketiga tertulis kalimah Allah.[10]

Namun begitu, secara zahir hadis, seakan-akan di sana terdapat juga larangan Rasulullah SAW mengenai hukum mengukir nama Allah SWT pada cincin seseorang seperti yang diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَنَعَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ، فَنَقَشَ فِيهِ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ، ثُمَّ قَالَ: لَا ‌تَنْقُشُوا ‌عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW telah membuat cincin dari perak, lalu baginda mengukir padanya tulisan “Muhammad Rasulullah”.  Kemudian Baginda bersabda: Janganlah kamu mengukir tulisan yang sama padanya.[11]

Walau bagaimanapun, di dalam hadis ini terdapat perincian sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa sebab larangan tersebut adalah kerana Nabi SAW membuat cincin dan mengukir padanya untuk digunakan sebagai cop pada surat-surat Baginda kepada raja-raja bukan Arab dan yang selainnya. Sekiranya terdapat orang lain mengukir tulisan yang sama, ia boleh menyebabkan kekeliruan dan membawa kepada kerosakan. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar; Ibn Abi Shaybah meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ibn Sirin bahawa beliau tidak melihat sebarang masalah bagi seseorang untuk menulis di cincinnya “حسبى الله” dan seumpamanya. Ini menunjukkan bahawa pandangan makruh di sisi Ibn Sirin terhadap perkara ini tidaklah terbukti secara kukuh. Kemungkinan pendapat ini dapat digabungkan dengan menyatakan bahawa makruh hanya timbul apabila terdapat kebimbangan cincin itu dibawa oleh orang yang dalam keadaan junub, wanita yang haid, atau digunakan semasa bersuci dengan tangan yang memakai cincin itu. Jika tiada kebimbangan seperti itu, maka ia dibenarkan. Justeru, kemakruhan itu berlaku bukan kerana cincin itu sendiri, tetapi kerana keadaan yang mungkin berlaku.[12]

Di samping itu, terdapat juga beberapa pandangan fuqaha berkenaan hukum menulis atau mengukir bahagian dari ayat al-Quran dan nama-nama Allah pada selain dari mushaf yang merangkumi antara makruh dan haram. Antara pandangan yang makruh seperti yang diutarakan oleh:

●      
Imam Uthman bin Ali al-Zayla’i:

وَيُكْرَهُ كِتَابَةُ الْقُرْآنِ وَأَسْمَاءِ اللَّهِ تَعَالَى عَلَى ‌مَا ‌يُفْرَشُ ‌لِمَا ‌فِيهِ مِنْ تَرْكِ التَّعْظِيمِ، وَكَذَا عَلَى الْمَحَارِيبِ وَالْجُدْرَانِ لِمَا يُخَافُ مِنْ سُقُوطِ الْكِتَابَةِ

Maksudnya: Makruh menulis al-Quran dan nama-nama Allah Ta’ala pada hamparan (yang akan diduduki padanya) kerana ia mengandungi unsur tidak menghormati kalimah tersebut, begitu juga pada mihrab dan dinding kerana ditakuti tulisan itu akan jatuh.[13]

●      
Imam al-Buhuti:

(وتكره كتابته) أي: القرآن (في الستور وفيما هو مظنة بذله) ، (ولا تكره كتابة غيره من الذكر فيما لم يدس وإلا) بأن كان يداس (كره) (شديدا ويحرم دوسه) أي: الذكر، فالقرآن أولى

Maksudnya: Dan makruh menulis al-Quran pada tirai dan pada benda yang kemungkinan besar akan membawa kepada penghinaan. Dan tidak makruh menulis zikir selain dari al-Quran pada benda yang bukan untuk dipijak. Namun, jika ia untuk dipijak, maka hukumnya sangat makruh dan menjadi haram jika memijak zikir tersebut. Maka al-Quran adalah lebih utama (dilarang diperlakukan sedemikian).[14]

Pandangan yang mengatakan haram pula
seperti:

●      
Imam Syarwani al-Shafi’i:

وَيَحْرُمُ كَتْبُ الْقُرْآنِ أَوْ شَيْءٍ مِنْ أَسْمَائِهِ تَعَالَى بِنَجِسٍ وَعَلَى نَجِسٍ وَمَسُّهُ بِهِ إذَا كَانَ غَيْرَ مَعْفُوٍّ عَنْهُ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ

Maksudnya: Haram menulis al-Quran atau sesuatu daripada nama-nama Allah Ta’ala dengan benda najis atau pada benda yang najis serta menyentuhnya dengan benda bernajis jika ia bukan daripada najis yang dimaafkan, sebagaimana yang disebut dalam kitab Al-Majmu’.[15]       

Analisis Pandangan

Merujuk kepada perbahasan yang lalu, para fuqaha menerangkan bahawa hukum makruh dan haram berlaku pada menulis atau mengukir bahagian dari ayat al-Quran dan nama-nama Allah yang mulia pada selain dari mushaf adalah disebabkan terdapat padanya unsur penghinaan.

Oleh itu, difahami sekiranya tiada ‘illah pengharaman menulis nama-nama Allah pada tempat selain mushaf seperti pada logo, maka tiadalah hukum larangan tersebut. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur iaitu:

‌الحكم ‌يدور ‌مع ‌علته وجودًا
وعدمًا

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illahnya ketika ia ada dan tiada.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa pada penggunaan kalimah Allah SWT pada logo atau jata adalah diharuskan berdasarkan dari perbuatan Rasulullah SAW sendiri bahawa Baginda mengukir lafaz Allah SWT pada cincin Baginda. Oleh itu, dapat difahami bagi umat Islam bahawa hukum meletakkan kalimah Allah SWT pada tempat yang sepatutnya bukan dengan tujuan penghinaan adalah dibolehkan. Begitu juga, perkara ini juga diharuskan adalah bersandarkan pendapat para fuqaha yang menyatakan keharusan menulis atau mengukir kalimah Allah SWT pada tempat selain dari mushaf dengan tujuan yang mulia dan benar sesuai dengan ajaran Islam. Namun, jika ianya dalam konteks yang tidak sesuai atau sembarangan yang dianggap sebagai tindakan kurang hormat dan dapat merendahkan kesucian nama tersebut, maka hukumnya menjadi haram.

Hukum Menjaga Kesucian Kalimah Allah Azza Wa Jalla

Secara umumnya, logo atau jata yang ditulis padanya kalimah-kalimah yang dianggap suci dan mulia seperti lafaz Allah adalah bertujuan untuk mengagungkan lafaz tersebut, maka perlulah dijaga sebaiknya dari terdedah kepada perkara yang membawa kepada penghinaan. Justeru, menjadi wajib bagi umat Islam mengagungkan kalimah Allah SWT kerana ianya merupakan nama bagi zat Tuhan yang wajib wujud. Hal ini bertepatan dengan suruhan agama Islam dalam menjaga kesucian nama Allah SWT kerana ianya sebahagian dari mengagungkan syiar-syiar Islam yang menggambarkan ketakwaan hati seseorang itu. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 32: 

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ
اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya:  Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Selain itu, terdapat juga pendapat ulama yang memberikan keterangan hukum mengenai menjaga kesucian kalimah Allah adalah wajib bagi setiap Muslim. Ibn Hajar al-Haytami di dalam fatwanya menyebutkan bahawa:

‌فَإِنَّ ‌الْقُرْآنَ ‌وَكُلَّ ‌اسْمٍ ‌مُعَظَّمٍ كَاسْمِ اللَّهِ أَوْ اسْمِ نَبِيٍّ لَهُ يَجِبُ احْتِرَامُهُ وَتَوْقِيرُهُ وَتَعْظِيمُهُ… الْقَاعِدَةِ الْمَعْلُومَةِ الَّتِي لَا نِزَاعَ فِيهَا وَهِيَ أَنَّ تَنْجِيسَ اسْمِ اللَّهِ وَنَحْوِهِ فِيهِ إهَانَةٌ لَهُ وَإِهَانَتُهُ مُحَرَّمَةٌ فَيَكُونُ السَّبَبُ إلَى ذَلِكَ مُحَرَّمًا

Maksudnya: Sesungguhnya al-Quran dan setiap nama yang dimuliakan seperti nama Allah atau nama nabi-Nya wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan… Kaedah yang telah sedia maklum yang tidak ada perselisihan padanya adalah perbuatan mengotori nama Allah dan seumpamanya merupakan bentuk penghinaan terhadap-Nya dan perkara itu adalah haram, maka segala sebab yang membawa kepada hal tersebut juga diharamkan.[16] 

Di samping itu, menghina atau memperlakukan yang tidak selayaknya pada kalimah Allah dengan sengaja merupakan tindakan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur jika dilakukan dengan niat untuk merendahkan agama Islam. Ini berdasarkan apa yang difahami dari pendapat Imam Nawawi bahawa lafaz Allah itu merupakan sebahagian dari al-Quran kerana di dalamnya ada disebutkan kalimah Allah secara jelas, beliau menyatakan perkara tersebut seperti: 

‌وَأَجْمَعُوا ‌على ‌ان ‌من ‌استخف ‌بالقرآن ‌أو ‌بشئ ‌مِنْهُ أَوْ بِالْمُصْحَفِ أَوْ أَلْقَاهُ فِي قَاذُورَةٍ أو كذب بشئ مِمَّا جَاءَ بِهِ مِنْ حُكْمٍ أَوْ خَبَرٍ أَوْ نَفَى مَا أَثْبَتَهُ أَوْ أَثْبَتَ مَا نفاه أو شك في شئ مِنْ ذَلِكَ وَهُوَ عَالِمٌ بِهِ كَفَرَ

Maksudnya: Dan Para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang memperlekehkan al-Quran atau sesuatu daripadanya atau memperlekehkan mushaf atau membuangnya ke tempat yang kotor atau mendustakan apa-apa yang dibawa oleh al-Quran sama ada berupa hukum atau berita atau menafikan apa yang ditetapkan olehnya atau menetapkan apa yang dinafikannya atau ragu-ragu terhadap mana-mana perkara tersebut sedangkan dia mengetahuinya, maka dia telah kafir.[17]

Hal yang sama disebutkan oleh Imam Qalyubi dalam hasyiahnya ketika menyebutkan perbuatan yang boleh membawa kepada kekufuran jika dilakukan dengan tujuan memperolok-olokan dengan sengaja adalah seperti:

وَمِثْلُهُ الْحَدِيثُ وَكُلُّ عِلْمٍ شَرْعِيٍّ أَوْ ‌مَا ‌عَلَيْهِ ‌اسْمٌ ‌مُعَظَّمٌ، قَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِيُّ وَلَا بُدَّ فِي غَيْرِ الْقُرْآنِ مِنْ قَرِينَةٍ تَدُلُّ عَلَى الْإِهَانَةِ وَإِلَّا فَلَا

Maksudnya: Demikian juga (hukumnya seperti membuang mushaf ke tempat yang kotor)  hadis dan setiap ilmu syariah atau sesuatu yang mempunyai nama yang dimuliakan. Berkata guru kami Imam al-Ramli: bahawa dalam perkara selain al-Quran, mestilah ada petunjuk yang menunjukkan penghinaan, jika tidak, maka tidak (dianggap penghinaan).[18]

Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam perlu meraikan adab dan etika menggunakan jata atau logo yang tertulis padanya kalimah Allah SWT. Antara adab dan etika yang perlu dijaga adalah tidak membiarkan jata atau logo tersebut terdedah kepada unsur penghinaan seperti diletakkan atau digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Yang kedua, adab ketika membawa masuk ke dalam tandas adalah dibolehkan tetapi hukumnya makruh, namun sebaiknya ia ditinggalkan di luar tandas. Yang ketiga, jata atau logo yang terdapat padanya kalimah Allah SWT dengan tujuan mengagungkan syiar Islam bukannya untuk melemahkan dan menghina agama Islam.

Kesimpulan

Tuntasnya, hukum menggunakan kalimah Allah SWT pada logo atau jata adalah dibolehkan berdasarkan perbuatan Nabi SAW dan pandangan ulama yang mengharuskan perkara tersebut. Namun begitu, kalimah Allah tersebut perlu dimuliakan dan dijaga dari terdedah kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada penghinaan.      



[1] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami. Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj Wa Ḥawāshī al-Syarwānī Wa al-‘Abbādī. (Mesir: Al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), 1/6.

[2] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah,
1893), 3/198. Hadis no. 2736.

[3] Abū Ḥāmid, Muḥammad bin Muḥammad al-Ghazālī. Al-Maqsad
al-Asnā
. (Cyprus: al-Jaffān, al-Jābī, 1987), 61.

[4] al-Ghazālī. Al-Maqsad al-Asnā. 61.

[5] Al-Tirmidhī, Muḥammad binʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā
al-Bābī al-Ḥalabī, 1975), 5/550. Hadis no. 3544.

[6] Al-Qurṭubī, Muḥammad bin Aḥmad, al-Jāmiʿ Li’aḥkām al-Qurān. (Mesir: Dār
al-Kutub al-Miṣriyyah, 1964), 7/327.

[7] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ
al-Bukhārī
. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893), 7/157. Hadis no. 5873.

[8] Ibn Batṭāl Abū al-Ḥasan Ali bin Khalaf bin Abdul Malik. Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī li Ibn Batṭāl. (Al-Riyadh: Maktabah al-Rushd, 2003), 9/133.

[9] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth
al-ʿArabī, 1972), 14/68.

[10]Al-Tirmidhī. Sunan
al-Tirmidhī
. 4/229. Hadis no. 1747.

[11] Al-Tirmidhī. Sunan al-Tirmidhī.
4/229. Hadis no. 1745.

[12] Abū al-‘Alā Muḥammad Abdurraḥman bin Abdurraḥīm al-Mubārakfūrī. Tuḥfah al-Aḥwadhī bi Sharḥ Jāmi’ al-Tirmidhī. (Beirūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t.), 5/ 347.

[13] Uthmān bin Alī al-Zayla’ī al-Ḥanafī. Tabyīn al-Ḥaqāiq Sharḥ Kanz al-Daqāiq Wa Ḥāshiyah al-Syilbī. (Kaherah: Al-Maṭba’ah al-Kubrā al-Amīriyyah, 1314H), 1/58.

[14] Mansūr Bin Yunus Al-Buhūtī al-Hanbalī. Kasshāf al-Qinā’ ‘an al-Iqna’. Wizāratu al-‘Adl Fī  Al-Mamlakatu al-‘Arabiyyah al-Sa’udiyyah, 2008). 1/319.

[15]Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami. Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj Wa Ḥawāshī al-Syarwānī Wa al-‘Abbādī. (Mesir: Al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), 1/154.

[16] Shihabuddīn, Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami. Al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubrā. (t.t.p: Al-Maktabah al-Islamiyyah, t.t.), 2/6.

[17] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Mesir:
al-Ṭibā`ah al-Munīriyyah, 1929), 2/170.

[18] Aḥmad Salāmah al-Qalyūbī dan Aḥmad Barlasī ‘Umairah. Ḥāshiyatā Qalyūbī Wa ‘Umairah. (Beirūt: Dār al-Fikr, 1995), 4/177.